AgamaBerita Semasa

Institusi amal jariah berintegriti bantu individu daripada terjerumus ke lembah kemiskinan – Menteri Agama

PUTRAJAYA – Rangkaian institusi amal jariah yang berintegriti dan kukuh dapat membantu individu daripada terjerumus ke lembah kemiskinan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut Mohd Naim, sektor infaq atau sedekah dapat memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi umat Islam di Malaysia dengan menangani cabaran sosioekonomi jangka pendek dan jangka panjang.

“Infaq dan sedekah juga boleh bertindak sebagai jaringan  keselamatan sosial selain memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesukaran kewangan.

“Ini sangat penting dalam menangani kejutan ekonomi secara mengejut seperti kehilangan pekerjaan, penyakit, atau bencana alam.

“Justeru itu, saya berpandangan bahawa infaq sebagai sektor ketiga juga boleh memainkan peranan yang cukup penting seperti zakat dalam membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Forum Serantau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (FSY2024) bertemakan “Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau”

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Mond Radzif Mohd Yunus.

Mohd Radzif (dua kanan) menyerahkan cenderahati kepada Mohd Na’im semasa Majlis Penutup Forum Serantau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (FSY2024). – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Penganjuran FSY2024 diadakan bersempena ulang tahun penubuhan YAPEIM ke-40 yang mengumpulkan pengamal serta pemikir dalam ekonomi dan kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran dan kehendak ekonomi serta kewangan semasa.

Forum berkenaan turut merancang pelbagai pendekatan dan strategi yang berkesan untuk membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam, memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisyen dan tadbir urus yang baik.

Tambah Mohd Na’im, pemerkasaan institusi infaq di Malaysia seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) perlu sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, melalui perancangan strategik serta pengurusan yang berintegriti, ia akan memberikan keyakinan kepada semua pihak untuk berkolaborasi dalam program-program pembangunan ummah yang dilaksanakan.

“Tadbir urus yang cekap bukan sahaja akan melahirkan organisasi amal jariah yang berdaya saing malah mampu meraih serta mengekalkan keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang dan menjadikan institusi berkenaan sebagai nstitusi infak pilihan,” katanya.

Dalam ucapan yang sama, Mohd Na’im merumuskan bahawa institusi infaq ataupun amal jariah yang ada pada hari ini, perlu beroperasi berdasarkan prinsip patuh syariah yang menggalakkan pelaburan etika dan pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab secara sosial.

“Semoga dengan usaha pengukuhan institusi kewangan Islam, umat Islam dapat membina sistem kewangan yang memenuhi keperluan mereka dalam pada masa sama ia  mematuhi nilai-nilai Islam,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button