Kejadian kedai mercun meletup, terbakar terjadi di Negeri Sembilan, bukan Kedah
ALOR SETAR – Insiden kedai menjual mercun yang meletup dan terbakar yang sebelum ini didakwa berlaku di Kedah, sebenarnya berlaku pada 2018 di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu berlaku di kawasan pentadbiran Balai Bahau di Negeri Sembilan.
“Polis telah menerima laporan mengenai video dalam aplikasi TikTok penama Oh Bulan yang menularkan kejadian kedai menjual mercun meletup berhadapan sebuah kedai menjual telefon pintar di bandaraya ini pada pukul 11.30 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati ia berlaku di Bahau bukan Alor Setar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Shukri berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, 233 Akta Komunikasi Multimedia yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya atau denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita ingin menasihati orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya menularkan berita palsu yang akan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam,” jelas beliau.
Semalam, satu video memaparkan kejadian letupan dan kebakaran tersebut menjadi tular di media sosial.