Taufan Yagi ragut lebih 400 nyawa di Myanmar
YANGON – Angka kematian akibat banjir lumpur dan tanah runtuh yang disebabkan oleh Taufan Yagi di negara ini meningkat kepada 419 orang setakat malam tadi.
Sebelum ini, pihak berkuasa junta melaporkan jumlah angka korban adalah seramai 384 orang dengan 89 mangsa dilaporkan hilang.
Taufan Yagi yang melanda China, utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar pada minggu lalu mencetuskan banjir dan ribut berkelajuan tinggi menyebabkan ratusan terbunuh.
Media tempatan melaporkan masalah komunikasi yang lemah terutama di kawasan pedalaman dan terpencil menyebabkan operasi menyelamat berdepan kesukaran ketika ini.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) sebelum ini telah memberi amaran dengan menganggarkan seramai 887,000 orang bakal terjejas akibat taufan itu di Myanmar.
Banjir teruk melanda negara itu pada 2011 dan 2015, dengan lebih 100 kematian dilaporkan pada kedua-dua kejadian, manakala pada 2008 Taufan Nargis menyebabkan lebih 138,000 orang mati atau hilang.