Ujian Mendengar Bahasa Inggeris: Rakaman sudah lama dilakukan, tidak timbul isu TikToker
KAJANG – Isu penggunaan TikToker sebagai pelontar suara dalam Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) tidak harus timbul kerana aspek integriti sentiasa diberikan keutamaan di peringkat Lembaga Peperiksaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu sama ada suara latar dalam ujian berkenaan menggunakan suara milik pempengaruh TikToker atau sebaliknya tidak harus dibangkitkan kerana proses rakaman telah dilakukan lebih awal.
Bagaimanapun beliau mengakui Kementeriannya akan meneliti semula segala aduan berhubung kualiti rakaman suara berkenaan dan akan melakukan penambahbaikan.
“Ini sudah berlaku sebelum…lama lagi, proses merekod ini. Jadi proses itu berlaku sebelum isu TikTok ini lagi.
“Keduanya kita di peringkat Lembaga Peperiksaan dan kementerian sentiasa memastikan isu integriti diberi keutamaan dan semua aspek diambil kira seperti keesahan, kesahihan dan kredibiliti suara.
“Kita ambil maklum perkara ini dan akan buat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya selepas kunjungan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di sini.
Media sosial sejak semalam dibanjiri kandungan video oleh calon SPM yang tertekan apabila audio Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris pada Khamis lalu dikatakan tidak berkualiti dengan sebutan percakapan tidak jelas.
Isu itu kemudian dikaitkan dengan seorang individu yang mengaku sebagai pemilik suara latar dalam ujian berkenaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai.