Alif Teega tidak mengaku salah tuduhan salahguna wang infaq
KUALA LUMPUR – Pempengaruh, Alif Teega mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM63,605.48 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Alif Teega atau nama sebenarnya, Mohd Hazalif Mohd Hazani, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.
“Saya mohon dibicarakan,” katanya ringkas.
Mengikut pertuduhan pertama, Alif tersebut didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin, di CIMB Bank, KL Gateway, di sini, pada 26 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program ‘Jom! sertai infaq daging Qurban’ di bank sama, 15 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan, dia boleh dihukum bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda.
Pada 11 Julai lalu, Alif Teega, 30, dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, ditahan reman empat hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah.
Kes itu menjdai tular di media sosial kerana pempengaruh tersebut didakwa mengambil komisen tinggi daripada kutipan derma.
Pasangan itu turut menjadi perhatian warga siber kerana sentiasa memaparkan kehidupan mewah.