Pemandu hambur kata-kata lucah, kesat ditahan polis
PORT DICKSON – Tindakan seorang lelaki yang menghemburkan kata-kata kesat dan lucah kepada seorang wanita di Bandar Springhill di sini membawa padah apabila suspek akhirnya ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Shah Mohamed berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.30 petang semalam mengenai perlakuan suspek di tempat letak kenderaan di Bandar Springhill.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengaibkan kehormatan dan mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak ramai.
“Hasil saringan awal urin (suspek) adalah negatif. Suspek itu tiada rekod kesalahan lampau dan kini ditahan di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Dalam video berdurasi 34 saat yang tular semalam, seorang lelaki dilihat menghalang laluan keluar sebuah kenderaan dan enggan mengalihkan kenderaan selepas diminta berbuat demikian.
Suspek kemudian bertindak mengeluarkan perkata lucah kepada seorang wanita yang merakam kejadian berkenaan.
Sementara itu, polis menasihatkan orang awam agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menviralkan video tersebut seta memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.