Berita Semasa

Keuntungan Pharmaniaga dijangka meningkat 30 hingga 35 peratus

PUCHONG – Margin keuntungan kasar syarikat Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dijangka meningkat sebanyak 30 hingga 35 peratus selepas melancarkan fasiliti pengilangan insulin dan vaksin pertama di negara ini.

Pengarah Urusannya, Zulkifli Jaafar berkata, pihaknya yakin angka tersebut mampu dicapai memandangkan fasiliti itu kini berupaya mengeluarkan kira-kira 30 juta dos insulin setahun.

“Bagi insulin, kita menjangkakan untuk permulaan, hasil kira-kira RM100 juta setahun, vaksin kira-kira 300 juta setahun. Vaksin dan insulin ini sahaja kita jangka menyumbang hampir RM400 juta.

“Oleh sebab itu, ia secara automatik akan meningkatkan hasil dan margin keuntungan Pharmaniaga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin Pharmaniaga di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin Pharmaniaga hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas mengenai pelan penyusunan Bursa Malaysia, Zulkifli berkata, pihaknya menjangkakan pihak Bursa akan memberi kelulusan pada bulan depan.

“Kami sedang menunggu kelulusan Bursa untuk pelan penyusunan semula. Kita jangka perkara ini akan berlaku sama ada bulan ini, atau selewat-lewatnya, bulan depan,” katanya.

Zulkifli turut meramalkan keseluruhan urusan tersebut akan lengkap sama ada pada Februari tahun depan atau suku pertama 2025.

Proses penghasilan insulin dijalankan di fasiliti yang dibangunkan oleh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sebagai rekod, fasiliti pengilangan insulin dan vaksin Pharmaniaga ini diperakui oleh Amalan Pengilangan Baik Kesatuan Eropah (EU GMP).

Penghasilan insulin sehingga 30 juta dos oleh fasiliti baharu Pharmaniaga itu juga melebihi permintaan semasa Malaysia yang berjumlah kira-kira 25 juta dos setahun.

Selain insulin, fasiliti pengeluaran itu mampu menghasilkan vaksin, seterusnya menyumbang kepada daya tahan penjagaan kesihatan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button