Jenayah & Mahkamah

Sindiket tumpas, polis rampas 30 ekor anak buaya, 14 ekor kura-kura bernilai RM1.8 juta

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penyeludupan hidupan liar berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar ibu negara, semalam.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mohd Yusoff Mamat, hasil operasi telah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing.

“PDRM melalui Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) telah melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar Kuala Lumpur pada 17 September 2024.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesis hidupan liar yang terkawal dari sebuah negara di Asia selatan menggunakan laluan udara masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, hasil serbuan, pihak polis telah berjaya merampas 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis Indian Eyed Turtle.

Jelasnya, kes ini jarang-jarang berlaku dan spesis tangkapan tersebut juga mempunyal nilai yang sangat tinggi di pasaran gelap.

“Harga jualan bagi seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000 manakala kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1,350 seekor.

“Tangkapan in juga dipercayai melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar yang aktif di peringkat antarabangsa.

“Hidupan liar tersebut dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit dan akan dipindahkan ke negara lain,” katanya.

Dianggarkan, jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai lebih RM1.8 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 68 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sebagai rekod, bagi tempoh 1 Januari hingga 17 September tahun ini, WCB/PSK telah berjaya melancarkan sebanyak 135 serbuan di seluruh negara dan telah menahan seramai 384 orang.

“Penahanan itu atas pelbagai kesalahan yang melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar.

“Keseluruhan nilai rampasan dalam tempoh tersebut pula dianggarkan berjumlah lebih RM420 juta,” tambahnya dalam kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button