Berita Semasa

Malaysia dipilih jadi pusat kecemerlangan pendidikan negara-negara membangun, selepas perang

PUTRAJAYA – Malaysia bersetuju menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan latihan bagi negara-negara membangun dan negara selepas perang sebagai komitmen dalam pembangunan bakat dan pendidikan di peringkat global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir berkata, cadangan menjadikan Malaysia sebagai ‘tuan rumah’ bagi program itu dikemukakan dalam satu perbincangan dua hala semasa menghadiri jemputan Institut Perdagangan Dunia atau World Trade Institute (WTI) di Switzerland, baru-baru ini.

Katanya, pemilihan Malaysia merupakan salah satu daripada idea yang dibincang dalam pertemuan beliau dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Tetsuya Watanabe; Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia, Dr. Roberto Echandi dan Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia.

Menurut Dr Zambry, cadangan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar buat negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan.

“Saya menyambut baik hasrat berkenaan selaras dengan fokus Kementerian untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi. Antara negara yang bakal dipilih termasuk Afghanistan, Iraq, Libya serta Timor Leste.

“Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Zambry mengadakan kunjungan selama 5 hari ke Switzerland di atas jemputan Institut Perdagangan Dunia atau World Trade Institute (WTI) yang bertujuan memperkukuh kerjasama dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

“Nyata lawatan saya ke Switzerland kali ini membuahkan hasil dengan dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button