Raja Petra dilapor meninggal dunia pada usia 74 tahun
JUALA LUMPUR – Pengasas dan penulis portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dilaporkan meninggal dunia di Manchester, United Kingdom (UK) hari ini.
Berita duka itu yang disahkan oleh adiknya, Raja Idris turut dikongsi rakannya termasuk pemimpin politik antaranya, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi sebentar tadi.
Bagaimanapun punca kematian Allahyarham yang berusia 74 tahun itu tidak dapat dipastikan.
“Mendapat khabar duka dari Manchester, UK mengenai pemergian Raja Petra Kamarudin pada 9 September jam 11.26 malam waktu UK.
“Semoga Allah merahmati roh beliau serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulisnya.
Sementara itu, menerusi satu hantaran dalam laman Facebook Malaysia Today, isterinya, Marina berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah yang merebak ke paru-paru dan hati.
Allahyarham yang lahir pada 1950 telah menetap di UK sejak beberapa tahun lalu dan aktif berkongsi mengenai politik Malaysia melalui platform media sosial.