PM X

Kempen Perangi Gula: PM Anwar nasihat orang ramai amalkan gaya hidup sihat

KUALA LUMPUR – Kecelikan kesihatan terhadap usaha mengurangkan pengambilan gula masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga mengakibatkan peningkatan obesiti dan kencing manis.

Rentetan dari permasalahan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat di negara ini agar menjaga kesihatan masing-masing dengan lebih serius.

“Obesiti itu membawa kepada penyakit. Bagaimana kurangkan obesiti? Saya bukan doktor pakar tapi saya tahu kena kurangkan karbohidrat, kurangkan gula dan banyakkan bersenam.

“Sibuk? Semuapun sibuk. Sebab alasan ‘sibuk’ itu alasan yang sangat remeh,” katanya sambil menambah bahawa statistik terkini menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit diabetes.

Ingatan tersebut diberikan Perdana Menteri ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024; Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan agar kempen kesihatan seperti ini diteruskan memandangkan penghidap penyakit kronik lain di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia.

Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa pendidikan kesihatan di Malaysia telah menerima peruntukan kesihatan terbesar berbanding negara-negara membangun yang lain.

“Justeru itu, keseimbangan dalam menjaga kesihatan secara rohani dan fizikal perlu dipertahankan.

“Saya menyeru pentingnya amalan bersederhana dan tidak membazir yang perlu diberi penekanan lebih berat demi menjaga kesihatan masing-masing dengan lebih serius,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button