Kementerian Pertahanan komited lindungi anggota ATM selepas tamat perkhidmatan
KLUANG – Kementerian Pertahanan komited untuk melindungi kesejahteraan sosio ekonomi dan perlindungan sosial anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas perkhidmatan mereka.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengorbanan dan dedikasi anggota ATM adalah asas pertahanan negara, dan dengan sokongan kolektif, saya yakin Malaysia akan terus aman, makmur, dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Saya juga akan terus mendukung usaha Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang dengan mampan demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 (MBP) anjuran LTAT yang melabuhkan tirai dengan penuh kejayaan hari ini.
Yang hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datu Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku wakil rasmi Panglima Angkatan Tentera.
Dalam pada itu menurut LTAT, hampir 3,500 pengunjung dalam kalangan anggota ATM hadir di tiga kem tentera di selatan Malaysia.
“Program Minggu Bersama Pencarum terus menjadi landasan utama bagi LTAT untuk menyantuni dan meningkatkan keterlibatannya dengan warga ATM.
“Program tiga hari yang telah dianjurkan di antara 2 hingga 6 September itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah-faedah yang disediakan oleh LTAT kepada pencarum, pendedahan berhubung pengurusan kewangan yang mampan, serta peluncuran Laporan Pencarum LTAT 2023, sebuah inisiatif terbaru LTAT yang bertujuan untuk memberi kefahaman yang mendalam berhubung peranan LTAT terhadap warga ATM dan pembangunan ekonomi negara.
“Memasuki tahun kedua penganjurannya, MBP telah dinaiktaraf bagi memastikan peningkatan kefahaman anggota ATM terhadap kesejahteraan dan perlindungan sosio-ekonomi semasa perkhidmatan dan selepas persaraan,” katanya.
Sementara itu katanya, MBP turut menganjurkan slot Inspirasi Veteran ATM yang menampilkan usahawan-usahawan berjaya di kalangan veteran ATM, serta slot Laman Bicara yang menampilkan personaliti personaliti terkenal yang berkongsi tips kejayaan.
“Acara kemuncak program ini yang julung kali diadakan adalah sesi perkongsian oleh Menteri Pertahanan dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari melalui slot Bicara, yang menjadi platform untuk mereka berkongsi pandangan terhadap masa depan keselamatan negara dan kebajikan anggota ATM.
“Program ini turut diserikan dengan aktiviti BHPetrol Titan Challenge yang menyediakan cabaran fizikal dan mental kepada warga ATM yang hadir. Anak-anak syarikat dan syarikat bersekutu LTAT turut menyertai program ini dengan menyediakan reruai untuk warga ATM. Antara syarikat yang terlibat adalah Boustead Holdings Berhad, Boustead Plantations Berhad, BH Petrol, Affin Bank Berhad, AHAM Asset Management, Pharmaniaga Berhad dan lain-lain,” katanya.
Selain itu, program itu juga diserikan dengan acara cabutan bertuah khas sebagai tanda penghargaan LTAT kepada warga ATM atas sokongan mereka.
Pada masa sama, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) turut menyampaikan sumbangan chromebook, yang ditaja oleh BHPetrol kepada anak-anak warga ATM yang menduduki SPM pada tahun ini.
“Program ini merupakan kerjasama antara YLTAT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang melibatkan seramai 969 anak-anak warga ATM calon SPM 2024 yang bersekolah di luar kem seluruh negara untuk mengikuti program rintis tuisyen dalam talian, e-Perkasa SPM dengan menggunakan chromebook tersebut.
“Selain itu, sumbangan kebajikan turut dipanjangkan kepada anggota ATM dan keluarga mereka yang menghidap penyakit kronik dan OKU, yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat.
Sementara itu menyentu mengenai Laporan Pencarum 2023 yang Pertama oleh LTAT, katanya, ia merupakan sebuah laporan komprehensif yang julung kali diterbitkan bertujuan untuk membantu anggota ATM memahami dengan lebih baik peranan dan tanggungjawab LTAT.
Katanya, laporan itu juga menekankan faedah-faedah yang disediakan oleh LTAT, serta memperlihatkan komitmen LTAT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan sosio-ekonomi warga ATM dan peranannya dalam menyokong pembangunan ekonomi Malaysia, selaras dengan inisiatif Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan.