Berita Semasa

Veteran ATM disaran berdaftar dengan JHEV

Kerajaan telah menambah peruntukan JHEV ATM daripada RM119 juta kepada RM244 juta tahun ini

MERSING – Kira-kira 20,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen digesa berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk menerima pelbagai bentuk inisiatif bantuan dan kebajikan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini seramai 213,000 daripada 300,000 veteran ATM di seluruh negara sudah berdaftar dan memperoleh manfaat daripada kerajaan.

Jelas beliau, pendaftaran itu perlu memandangkan kerajaan sentiasa menitikberatkan soal penjagaan kebajikan bekas anggota tentera sama ada berpencen atau tidak berpencen.

Katanya, bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terbela, jumlah bantuan yang disediakan kerajaan ditingkatkan tahun ini.

“Mendokong Teras ke-6 Dasar MADANI iaitu Ihsan, kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM daripada RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun 2024.

“Peningkatan yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat yang lebih meluas kepada veteran ATM.

“Pada tahun ini, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup (BSH) sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 Juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan chiller kepada veteran ATM yang juga pengusaha Restoran Bayu Corner’s, Hasrin Saidin di Kampung Seri Lalang di sini semalam.

Hasrin yang berkhidmat selama 25 tahun dalam ATM dan pencen pada 2015, merupakan seorang daripada penerima Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM).

Menerusi lawatan ke daerah ini, Adly turut menyampaikan bantuan peralatan kepada seorang lagi veteran ATM yang menjalankan perniagaan memproses ayam segar.

Selain itu, beliau turut menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan dan lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi di sini.

Turut mengiringi beliau Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV; Leftenan Kolonel Nor Azimi Idris, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Johor, Mejar Johadi Jemaat dan wakil persatuan veteran ATM daerah ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, sehingga 30 Jun lalu, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah
bantuan tersebut melibatkan perbelanjaan hampir RM56 juta.

“Walau bagaimanapun, peruntukan ini hanya kepada pesara tentera yang berdaftar dengan JHEV,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat seramai 503 veteran ATM di dearah ini dan 166 daripadanya
adalah veteran tidak berpencen.

Beliau menyarankan semua veteran ATM berdaftar supaya mengemas kini maklumat peribadi dengan JHEV
ATM serta persatuan-persatuan di lokaliti masing-masing.

Tambahnya, ia bertujuan untuk memastikan semua skim bantuan JHEV ATM seperti BSH, bantuan persekolahan, bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, bantuan peralatan pesakit dan bantuan bencana alam dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur serta efektif.

Selain itu beliau berharap, program Peduli Veteran MADANI (PVM) akan menjadi medan yang berkesan untuk interaksi secara dua hala antara Kementerian Pertahanan dan veteran ATM dalam usaha membantu kelestarian kehidupan mereka.

Jelasnya lagi, program PVM itu melibatkan lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.

“Secara tidak langsung PVM ini dapat mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan masyarakat melalui program berfokus sejurus memperkasakan sosio ekonomi negara.

“Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi PVM menerusi kerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi-agensi yang berkaitan melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada veteran ATM yang terpinggir daripada menerima segala manfaat yang disediakan,” katanya.

Adly Zahari (tengah) menyerahkan bantuan chiller kepada pengusaha Restoran Bayu Corner’s, Hasrin Saidin (kanan) di Kampung Seri Lalang, Mersing, semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button