
Saya sudah nikahi Ira, tapi Puteri Sarah masih isteri saya yang sah – Syamsul
BANGI – Pengarah filem popular KL Gangster dan Mat Kilau, Syamsul Yusof hari ini mengesahkan diri telah berkahwin dengan pelakon Ira Kazar di Thailand.
Syamsul dalam satu rakaman video di akaun Instagramnya berkata, pernikahan itu diwalikan oleh ayah Ira yang juga seorang pelakon terkenal, Kazar Saisi.
“Pernikahan ini berlangsung di Thailand namun saya telah daftarkan di Malaysia.
“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, satu hari nanti saya akan letakkan noktah terhadap isu yang membelenggu rumah tangga saya.
“Saya sudah bernikah dengan Ira berwalikan ayahnya sendiri. Ada sebab saya bernikah di sini, untuk memudahkan beberapa urusan dan ia sudah didaftarkan,” katanya.
Dalam pada itu Syamsul, 39 menjelaskan bahawa Puteri Sarah masih lagi isterinya yang sah di sebalik kontroversi yang berlaku.
Beliau juga meminta Sarah supaya pulang ke rumah untuk berbincang mengenai masalah yang timbul antara mereka.
“Saya harap dia (Puteri Sarah) pulanglah ke rumah supaya kita boleh berbincang. Tak perlu hebahkan di media sosial.
“Pulanglah, bawa anak-anak sekali. Apa sahaja masalah, kita boleh bincang tanpa perlu dihebahkan atau mengaibkan saya atau sesiapa saja.
“Sudah-sudahlah ke sana ke mari tanpa izin suami. Saya masih suami, fikir-fikirkanlah,” kata Syamsul
dalam video berdurasi kira-kira empat minit itu.
Syamsul berkata, beliau berharap kemelut yang tercetus itu dapat ditamatkan dan mendapat keredhaan daripada seluruh ahli keluarga.