Permohonan kemasukan ke UA bagi lepasan STPM, setaraf diumum esok
PUTRAJAYA – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) peringkat sarjana muda sesi akademik 2024/2025 bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/ setaraf (STPM, STAM, matrikulasi, asasi dan diploma) akan diumumkan esok.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), keputusan boleh disemak mulai jam 12 tengah hari hingga 15 September ini jam 5 petang.
Katanya, permohonan itu boleh disemak melalui platform https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my.
“Selain itu, ia juga boleh disemak melalui aplikasi mobile UPUPocket di telefon pintar.
“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 7 September 2024 hingga 15 September 2024 di laman web UA masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya mulai 7 September ini setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
Jelasnya, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 6 September ini, jam 12 tengah hari hingga 15 September jam 5 petang
“Tawaran tempat bagi sesi akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian.
“Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di alamat BAHAGIAN KEMASUKAN PELAJAR IPTA JABATAN PENDIDIKAN TINGGI ARAS 4, MENARA 2, JALAN P5/6, PRESINT 5 62000 PUTRAJAYA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA,” katanya.