Pertambahan aset, sumber manusia antara strategi tangani pencerobohan zon Maritim Malaysia
PUTRAJAYA – Pertambahan aset laut dan udara serta penambahan sumber manusia dan teknologi terkini antara strategi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menangani isu pencerobohan di Zon Maritim Malaysia.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda
Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, strategi berkenaan adalah langkah
mitigasi yang dirancang oleh Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Hasil daripada rondaan dan operasi yang dijalankan di seluruh perairan negara, Maritim Malaysia merekodkan 434 kes tangkapan vesel nelayan asing (VNA) dari tahun 2020 hingga Julai 2024 yang terdiri daripada VNA Vietnam (308), Indonesia (81), Thailand (35) dan China (10).
“Angka berkenaan hanya sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara berikutan terdapat kekangan yang dihadapi seperti kekurangan kapal dan bot kerana perlu menjalani penyelenggaraan berjadual selain aset yang dimiliki telah uzur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Simposium Keselamatan Negara 2024 yang telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini semalam.
Zawawi dalam pada itu turut berkata, daripada jumlah kes VNA berkenaan, Maritim Malaysia merekodkan seramai 3,694 orang nelayan asing telah ditahan sepanjang 2020 hingga Julai 2024 atas pelbagai kesalahan.
Melihat kepentingan tersebut, katanya, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memastikan sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang dinamakan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah siap dibina dan beroperasi di perairan Laut China Selatan.
Di samping itu katanya, KDN telah melaksanakan perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland (AW) 189 untuk agensi itu dalam mempertingkatkan lagi pemantauan udara di zon Maritim Malaysia khususnya di kawasan sempadan perairan negara terutamanya bagi keperluan di Sabah dan
Sarawak.
Sementara itu beliau turut mengulas hasrat Saifuddin untuk KDN terus menjadi penyumbang kedudukan negara agar kekal berada dalam 10 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI).
Beliau memaklumkan Maritim Malaysia akan memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum sekaligus menjadi laluan selamat kepada kapal dagang yang melalui perairan negara di samping aktiviti ekonomi dapat dilakukan tanpa sebarang ketakutan dalam kalangan nelayan tempatan serta pengusaha bot komersial.
Beliau juga berharap, keselamatan yang dipertingkatkan ini juga dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk masuk ke dalam negara memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara selamat di dunia.