PM akan pertahankan pegawai kerajaan yang amanah, laksana tanggungjawab dengan baik
'Jangan gerun dengan mana-mana nama tanpa kecuali'
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan terus mempertahankan pegawai dan kakitangan kerajaan selagi mereka memegang amanah dan tanggungjawab dengan baik.
Sehubungan itu, Anwar mengingatkan, setiap kakitangan agensi di bawah Kementerian Kewangan seharusnya tidak gerun dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah masing-masing.
“Jadi saya memberi jaminan baik Kastam, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), jalankan tugas saudara dengan profesional.
“Kalau ada rayuan munasabah, berikan pertimbangan mengikut proses yang biasa tapi jangan gerun dengan mana-mana nama tanpa kecuali,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi pengalaman mempertahankan pegawai bawahannya suatu ketika dahulu.
“Ada satu pegawai kewangan ‘junior’ hadir, tapi menegur pengerusi (badan berkanun) yang juga mantan timbalan menteri ‘senior’ kerana cadangan itu melanggar peraturan Kementerian Kewangan.
“Datuk itu terus meluru ke pejabat Menteri Kewangan, hubungi saya, mengemukakan bantahan, kata anak muda ini nak mengajar kita, nak bantah kita, saya kata tak apa, saya minta laporan, terima kasih,” katanya.
Anwar berkata, beliau kemudiannya memanggil pegawai kewangan muda itu dan meminta laporan daripadanya.
“Saya buat keputusan pada masa itu, menyokong tindakan pegawai muda itu kerana melaporkannya,” katanya.