Luar NegaraSukan

Mohamed Salah umum musim terakhir di Anfield selepas bantu Liverpool tundukkan Manchester United 3-0

MANCHESTER -Mohamed Salah mengejutkan ramai apabila mengumumkan bahawa musim ini adalah musim terakhirnya di Anfield, selepas membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 ke atas Manchester United.

Salah, yang merupakan penjaring terbanyak di Old Trafford dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan tujuh gol, menyumbat satu gol dan memberikan dua bantuan kepada Luis Diaz dalam perlawanan itu.

Liverpool yang kini di bawah kendalian pengurus baharu, Arne Slot, memulakan musim ini dengan cemerlang.

United gagal memberi saingan kepada musuh tradisi mereka sepanjang perlawanan dan berpotensi mengalami kekalahan lebih besar jika Salah dan rakan sepasukannya memanfaatkan beberapa peluang di akhir perlawanan.

Walaupun pemain Liverpool lain sibuk meraikan kejayaan mereka, Salah menjadi tumpuan dengan kenyataannya selepas perlawanan.

“Saya mempunyai musim panas yang baik, masa yang lama untuk berfikir secara positif. Ini adalah tahun terakhir saya dengan kelab dan saya ingin menikmatinya.

“Saya rasa bebas untuk bermain bola sepak, kita akan lihat apa yang akan berlaku tahun depan. Tiada siapa di kelab yang berbicara dengan saya tentang kontrak. Ia bukan terpulang kepada saya, tetapi kepada kelab.” katanya seperti dilaporkan SkySport hari ini.

Arne Slot mencipta sejarah sebagai pengurus Liverpool pertama yang memenangi perlawanan pertamanya menentang United sejak Bob Paisley pada November 1975 dan hanya yang kedua melakukannya di tempat lawan selepas George Kay pada November 1936.

Slot berkata, walaupun kemenangan ini bermakna besar, topik utama selepas perlawanan adalah masa depan Salah.

“Ada banyak kemungkinan, tetapi buat masa ini dia adalah pemain kami dan saya sangat gembira dengannya,”

“Saya tidak berbicara mengenai kontrak. Dia bermain dengan mengagumkan, seperti dalam dua perlawanan pertama, tetapi jika kita hanya berbicara tentang individu, kita tidak berlaku adil kepada pemain lain.” katanya seperti yang dilapor Skysport hari ini

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, yang menghadapi kekalahan kedua berturut-turut dalam masa seminggu selepas kekalahan tipis kepada Brighton dan Hove Albion, kelihatan kurang ceria.

“Saya bukan seperti Harry Potter, itu yang kita perlu terima.

“Saya tidak fikir kami mengulangi kesilapan yang sama setiap minggu, jika tidak, kami tidak akan memenangi trofi dan mengalahkan lawan besar.” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button