Berita Semasa

Kapal selam baharu Australia tidak dilengkapi senjata nuklear

KUALA LUMPUR – Australia hanya akan memperoleh kapal selam berkuasakan nuklear dan bukannya dilengkapi dengan senjata tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepada beliau oleh Panglima Angkatan Tentera Australia yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Australia ketika datang memberikan penerangan pada 9 Mac lepas.

Jelasnya lagi, komitmen itu selaras dengan penyertaan negara negara itu di bawah Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT).

“Penerangan ini disusuli oleh panggilan telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada 10 Mac 2023 dan terkini semasa sesi pertemuan Minister of State at the Ministry of Defence United Kingdom pada 28 Mac 2023,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahu pendirian Malaysia berikutan pakatan pertahanan AUKUS dengan Australia akan membeli lapan buah kapal selam perang nuklear berharga AUD368 bilion dan kesannya kepada keselamatan negara-negara ASEAN berdasarkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN.

Mohamad berkata, semasa sesi penerangan tersebut beliau telah menjelaskan bahawa pendirian dan prinsip Malaysia berhubung pelaksanaan perkongsian keselamatan tiga negara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), yang dikenali dengan singkatan AUKUS, adalah tetap dan tidak berubah.

“Malaysia menggesa agar semua pihak sama ada di dalam mahupun di luar pakatan AUKUS ini, untuk saling menghormati dan mematuhi sepenuhnya instrumen perundangan negara dan antarabangsa sedia ada, terutamanya berhubung dengan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear dalam perairan negara,” katanya.

Katanya, ia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Deklarasi ASEAN mengenai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

Show More

Related Articles

Back to top button