Bekalan insulin negara cukup hingga hujung tahun – KKM
PUTRAJAYA – Bekalan semasa insulin di negara ini mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Disember ini, maklum Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kekurangan bekalan insulin itu adalah disebabkan isu pengeluaran di fasiliti pembekal tempatan.
“Kita akan terus mendapatkan pembekal lain dan KKM sudah meneliti perkara ini, bukannya kita tak ambil peduli, kita sentiasa memantau, cuma belum dapat pembekal lain.
“Sekarang sudah ada komitmen daripada pembekal lain, mereka akan serahkan dokumen dan kita akan percepatkan pendaftaran daripada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) sebelum hujung tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis menandatangani Majlis
Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Malaysia International Healthcare
(MIH) Megatrends 2024 di Dewan Serbaguna KKM di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamed Salim Fateh serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.
Susulan daripada kekurangan bekalan itu, Dr. Dzulkefly berkata, KKM sedang mencari alternatif bagi memastikan bekalan insulin tidak terputus.
“KKM sedang mencari pembekal lain sebagai alternatif. Kami sudah pun berkomunikasi, memang malang perkara ini berlaku tetapi kami sudah mengambil masa untuk berbincang dengan pembekal.
“Saya tidak mahu percaya kita akan
menghadapi krisis tetapi kita ada alternatif dan sedang mendapatkan pembekal lain secepat mungkin,” ujarnya.
Khamis lalu, KKM memaklumkan bagi memastikan rawatan pesakit dapat diteruskan tanpa gangguan, kementerian itu telah mengambil beberapa pendekatan termasuk meningkatkan penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor yang merawat pesakit.