Mayat dua beranak ditemui mati dalam rumah
MUAR – Tanda tanya ketiadaan kelibat tiga sekeluarga dengan keadaan rumah yang bergelap sejak beberapa hari lalu terjawap apabila dua daripada mereka ditemui meninggal dunia, semalam.
Mayat mangsa yang merupakan bapa berusia 70-an ditemui di dalam bilik air manakala mayat anak lelaki kurang upaya (OKU) berusia 40-an ditemui terbaring di atas sofa.
Sementara itu seorang lagi penghuni yang merupakan anak perempuan mangsa dan juga seorang OKU ditemui dalam keadaan tidak bermaya dipercayai kerana kelaparan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk tindakan lanjut.
Menurut jiran mangsa, mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama dua orang anak OKU lembam sejak kematian isteri beberapa tahun lalu.
Katanya, ketiadaan kelibat mereka bertiga sejak beberapa hari lalu menyebabkan penduduk menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan polis untuk memeriksa keberadaan mereka.
“Apabila pintu rumah dibuka, mereka menemui dua mayat satu di sofa dan satu lagi di bilik air,” katanya.