Empangan pecah di Ulu Slim: 109 terperangkap, 3 jambatan runtuh
SLIM RIVER – Sebanyak 109 penduduk di beberapa kampung di sini terperangkap dalam kejadian banjir dan kepala air yang menyebabkan empangan di Kampung Ulu Slim, Slim Village pecah petang tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, antara kampung terjejas, Kampung Sungai Bil, Slim Village; Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Slim Village; dan Kampung Pasir serta Eco Park Risda di Ulu Slim.
Beliau berkata, polis menerima maklumat berlaku kepala air di Kampung Sungai Bil pada 6.46 petang, selain Empangan Kampung Ulu Slim pecah.
“Jumlah mangsa yang terperangkap di Kampung Sungai Bil seramai 50 orang, manakala 15 orang di Sir Zulkifli Campsite, sementara 25 orang di Kampung Pasir Ulu Slim dan Eko Park Risda Ulu Slim (19 orang),” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azizi berkata, sebanyak tiga jambatan runtuh membabitkan jambatan jalan utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong Sungai Bil.
Katanya, pasukan Balai Polis Slim Village bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula mendapati paras air naik kira-kira 0.5 meter di sembilan rumah penduduk akibat limpahan air sungai.
Menurutnya, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Masjid Jamek Kampung Pasir bagi menempatkan mangsa.