Luar Negara

Gaji kakitangan suruhanjaya pilihan raya Indonesia dinaikkan

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan kenaikan elaun insentif sebanyak 50 peratus untuk pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) dalam satu majlis Konsolidasi Kesiapsiagaan Nasional bagi Pilihan Raya Serentak 2024 yang berlangsung di sini semalam.

Jokowi berkata, beliau memohon maaf kerana pentadbirannya gagal menaikkan elaun insentif pegawai KPU sejak beliau mula memegang jawatan pada tahun 2014.

“Saya tidak sedar bahawa elaun ini tidak berubah sejak 2014. Selepas kami menyedarinya, pengiraan semula dilakukan dan keputusan dibuat untuk menaikkan elaun ini sebanyak 50 peratus,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian semalam.

Portal berita Antara melaporkan Jokowi bergurau dengan menyatakan beliau mungkin tidak akan menghadiri majlis itu sekiranya dokumen untuk menaikkan elaun tidak ditandatangani.

“Saya tahu ramai yang menantikan pengumuman ini lebih daripada kehadiran saya di sini,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, Jokowi turut merakamkan penghargaan kepada pegawai KPU di peringkat pusat dan wilayah atas dedikasi mereka dalam memastikan kejayaan pilihan raya presiden dan perundangan awal tahun ini.

“Saya faham anda semua masih belum pulih sepenuhnya daripada keletihan namun kerja anda belum selesai kerana akan ada pilihan raya wilayah yang berlangsung serentak tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pegawai KPU agar terus komited dan bekerja keras untuk memastikan kualiti pilihan raya yang bakal diadakan adalah terbaik dan diterima rakyat.

“Saya harap anda semua dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi KPU, M Afifuddin berkata, majlis itu diadakan bagi menyebarkan peraturan semasa serta mengumpul maklum balas daripada peserta untuk memastikan pilihan raya yang akan datang berjalan lancar.

“Seramai 3,743 peserta termasuk 406 anggota KPU pusat dan pegawai negeri hadir dalam majlis ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button