Jenayah & Mahkamah

Kes pembunuhan Nuraina Humaira: Remaja 17 tahun ditahan

SUNGAI SIPUT – Polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes kematian kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan di kawasan paya di perkampungan Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, dekat sini semalam.

Meurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, suspek ditahan pada pukul 5.30 petang tadi di perkampungan sama dengan mangsa, dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati dia tiada rekod kesalahan lampau.

“Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Siput untuk permohonan reman, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Beberapa individu lagi akan turut dipanggil bagi memberi keterangan, tambah Mohd. Khaizam.

Laporan sebelum ini menyebut, Allahyarham Nuraina Humaira Rosli, 10, dilapor hilang sejak Jumaat, dengan kali terakhir dia dilihat di Surau Madrasah Darulsalam, Kampung Bersah yang berjarak kurang 100 meter dari rumah keluarganya.

Mangsa yang dimaklumkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan lembam, bagaimanapun ditemukan meninggal dunia dalam satu kawasan berpaya berdekatan kampungnya, semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button