Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pemimpin tinggi ajaran Millah Abraham ditahan

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) menahan seorang individu dengan status bertaraf ‘menteri’ dalam ajaran Millah Abraham yang diisytiharkan sesat sebelum ini.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, lelaki berusia lingkungan 45 hingga 50-an itu ditahan di kediamannya kira-kira 7.15 malam, Rabu lalu.

Beliau berkata, penahanan suspek adalah susulan operasi bersepadu khas Ops Milab yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa JAINJ bersama sepasukan anggota cawangan khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru.

“Hasil operasi bersepadu itu, seorang lelaki disyaki pengikut kepada ajaran sesat Milah Abraham ini ditahan di Batu Pahat.

“Lelaki itu mendakwa dirinya berstatus ‘menteri’ dalam kelompok ajaran sesat itu.

“Pendakwaan kes ke atas lelaki itu dijalankan semalam di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Batu Pahat dengan tarikh perbicaraannya ditetapkan pada 24 September nanti,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kira-kira dua minggu lalu, seramai 17 individu dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi khas di empat daerah di negeri ini iaitu di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat.

Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016, sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Di Negeri Sembilan, tiga beranak ditahan di sebuah rumah di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pada bulan lalu.

Ajaran Millah Abraham dipercayai menggabungkan tiga agama iaitu iaitu Islam, agama bangsa Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang mentafsirkan ajaran Al-Quran mengikut kefahaman mereka.

Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Show More

Related Articles

Back to top button