Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Berhabis duit kepada kenalan wanita, lelaki takut isteri buat laporan disamun

CHUKAI – Hanya kerana meminjamkan wang kepada seorang kenalan wanita yang dikenali sejak tiga tahun lalu, seorang pengawal keselamatan sanggup membuat laporan palsu polis kononnya telah disamun.

Tindakan lelaki yang takut dimarahi isterinya selepas kehabisan wang gaji itu akhirnya terbongkar selepas polis mendapati suspek membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, polis menerima laporan daripada suspek berusia 65 tahun itu yang mendakwa telah disamun dua lelaki Rohingya di Jalan Perindustrian Teluk Kalong, di sini.

“Suspek mendakwa telah mengeluarkan wang dari mesin ATM di sebuah stesen minyak di Kijal sebelum pulang ke rumah.

“Dalam perjalanan dia mendakwa telah menumpangkan dua warga Rohingya yang meminta pertolongan untuk dihantar di klinik kerana salah seorang daripadanya sedang sakit.

“Semasa memandu ke klinik, dia mendakwa disamun menggunakan pisau dan parang oleh kedua-dua warga asing berkenaan,” katanya.

Hanyan berkata, suspek mendakwa kerugian RM1,100 dalam kejadian itu.

Beliau berkata, selepas siasatan dilakukan, lelaki berkenaan mengakui kejadian samun berkenaan tidak pernah berlaku sebaliknya telah meminjamkan wang gajinya kepada seorang kenalan wanita.

“Siasatan lanjut mendapati pengawal keselamatan itu tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button