Dihimpit pelumba Perancis, pacer terlalu perlahan faktor Azizul tersingkir
KUALA LUMPUR – Beberapa faktor menjadi punca pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ‘terperangkap’ sehingga disingkirkan penyertaannya dalam acara Keirin Olimpik Paris 2024, malam tadi.
Bagi mereka yang bukan dari peminat tegar sukan Keirin, aturan perlumbaan sukan itu mungkin agak sukar dihadam untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam pusingan pertama perlumbaan itu.
Selepas keputusan yang pastinya perit diterima rakyat Malaysia semalam, Azizul tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku sehingga beliau terlibat dalam perlanggaran peraturan.
Jelas beliau, selain percaturan untuk mendapatkan posisi hadapan seawal saingan sebagai strategi keluar dari situasi bahaya (posisi ke enam) yang dibuat bersama jurulatih John Beasley, jaguh negara itu juga berdepan dengan himpitan agresif daripada pelumba Perancis.
Azizul mendakwa, halangan yang dilakukan terhadapnya itu dibuat secara sengaja sehingga berlaku berlanggaran dan hampir menyebabkan beliau terjatuh.
“Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan di dalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak ke depan untuk mengelak dari beliau,” katanya.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila situasi menyukarkan beliau untuk menyesuaikan kelajuan dengan ‘derny’ iaitu penunggang motosikal yang mengemudi perlumbaan.
Lebih mengejutkan katanya, kelajuan derny atau pacer ketika itu lebih perlahan daripada kelajuan biasa.
“Sebagai seorang pelumba Keirin yang elite, kita tahu speed/kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap terakhir pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55kmh.
“Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi pacer bergerak lebih perlahan berbanding speed sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat,” katanya.
Menurutnya, segala kemahiran dan pengalaman telah digunakan beliau sebaik menyedari pergerakan pacer yang perlahan sehingga beliau melakukan kayuhan ke belakang untuk memperlahankan basikalnya namun gagal.
Jelasnya lagi, berdasarkan kedudukan tayar belakang pelumba yang tidak sepatutnya melebihi pacer ketika pacer keluar di pursuit line, tindakan Azizul membawa kepada penyingkiran.
“Adakah tayar belakang saya memotong pacer sebelum pacer keluar? Jawapan saya adalah ya akan tetapi ianya adalah tidak disengajakan kerana dua keadaan iaitu pertama blocking dan himpitan berterusan dari pelumba France dan keduanya adalah kerana pacer bergerak pada kelajuan hanya 40-45kmh dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan,” katanya.
Katanya, status penyingkirannya kekal meskipun Pengurus Pasukan, Izham Mohammad dan John Beasley telah memohon penilaian semula melalui rakaman video.
Mengakhiri penjelasan itu, Azizul meminta rakyat Malaysia memberi sokongan dan doa kepada rakan sepasukan, Shah Firdaus Shahrom.