Berita Semasa

MINDEF, ATM, UiTM bekerjasama tukar pengalaman berkhidmat kepada kelayakan profesional

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi membantu warganya menukarkan pengalaman, ilmu serta kemahiran kepada sijil, diploma atau ijazah dalam bidang yang bersesuaian.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pengiktirafan kelayakan melalui kaedah “Work-Based Learning”.

“Di bawah kaedah ini, MINDEF mensasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem penilaian yang memberikan ‘nilai tambah’ buat warga ATM dan awam MINDEF, dengan membantu mereka menukarkan pengalaman, ilmu serta kemahiran kepada sijil, diploma atau ijazah dalam bidang yang bersesuaian, sekali gus membuka peluang dan laluan kerjaya, khususnya selepas persaraan.

“Misalnya, selepas beberapa tahun berkhidmat sebagai pramusaji, seseorang anggota boleh dinilai dan dianugerahkan oleh pihak UiTM, Diploma Kulinari atau Pengurusan Hotel,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau mendengar pembentangan serta dapatan oleh UiTM dan delegasinya yang diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bergambar bersama delegasi UiTM yang diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib hari ini.

Dalam pada itu katanya, setakat ini MINDEF dan UiTM telah mengenal pasti beberapa program yang boleh ditawarkan, seterusnya menukarkan pengalaman mereka kepada kelayakan profesional, dikenali sebagai “Work-Based Award” (WBA).

Katanya, UiTM memberikan komitmen untuk melaksanakan lima program sebagai permulaan dengan kadar segera dan sedang giat berusaha untuk memetakan program tambahan, seperti kejuruteraan.

“Kementerian sentiasa mengalu-alukan kerjasama seperti ini melibatkan institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) negara.

“Semoga usaha-usaha seperti ini akan menjadi “game-changer” baharu sekaligus memberikan nilai tambah yang bermakna kepada para perajurit kita yang telah banyak menyumbang dan berkorban kepada negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button