Berita Semasa

Belanjawan 2025: KPN cadang lima Inisiatif Bajet bernilai RM290 juta kepada MOF

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan merangka lima Inisiatif Bajet berjumlah RM290 juta untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Belanjawan 2025.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, lima inisiatif berkenaan melibatkan Program Perpaduan, Initegrasi Nasional dan Keharmonian; Kesejahteraan Komuniti; Pendigitalan dan Teknologi; Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan dan Penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan.

“Keperluan ini selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang menyasarkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) sebanyak 0.7 menjelang tahun depan.

“Pelaksanaan program-program secara bersasar perlu dilaksanakan bagi mewujudkan ‘tapak integrasi’ yang mampu meningkatkan interaksi antara rakyat pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Sarawathy Kandasami pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Azman Mohd Yusof dan ketua-ketua pengarah agensi di bawah kementerian itu.

Untuk rekod, KPN diperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi pelaksanaan inisiatif Kembara Perpaduan Malaysia MADANI dan sebanyak RM20 juta untuk memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), pada tahun lalu.

Aaron berkata, melalui inisiatif pertama, kementerian memberi tumpuan terhadap usaha pelaksanaan agenda perpaduan nasional, integrasi serta keharmonian.

Inisiatif kedua pula adalah memperkasakan peranan KRT, Skim Rondaan Sukarela, Mediator Komuniti, Tabika dan Taska Perpaduan sebagai penggerak utama dan penghubung jalin dalam komuniti.

Seterus adalah inisiatif pendigitalan bahan-bahan khazanah warisan negara dan melestarikan perpaduan melalui pemeliharaan dan pemuliharaan warisan negara.

Yang terakhir menurut beliau adalah melalui penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan, tumpuan diberikan kepada aspek pembaikan dan penyelenggaraan bangunan agensi-agensi di bawah KPN.

Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu diadakan bagi mendapatkan cadangan, pandangan dan idea daripada pihak berkepentingan yang membantu kerajaan dalam menjadi agen dan jentera perpaduan di dalam negara ini.

Dalam sesi itu, KPN akan mengumpulkan semua cadangan yang diberikan dan mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti dan seterusnya dipertimbangkan bagi dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

“Diharapkan permohonan peruntukan yang dimohon oleh KPN akan diberikan keutamaan oleh Kementerian Kewangan dalam memastikan semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button