Berita Semasa

Inisiatif Belanjawan 2024 KPKT capai 85 peratus pelaksanaan

PUTRAJAYA – Sebanyak RM737.9 juta telah diperuntukkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha merancang, melaksana, dan memantau projek pembangunan di seluruh negara bagi tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, bagi mendukung pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat, KPKT telah berjaya melaksanakan 10 daripada 12 inisiatif Belanjawan KPKT 2024.

Jelas Kor Ming, pencapaian ini merangkumi 85 peratus daripada keseluruhan inisiatif yang dirancang berteraskan lapan bidang fokus utama KPKT.

“Setakat 30 Julai sebanyak 10 inisiatif telah mencapai 85 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam tempoh enam bulan sahaja,” katanya kepada pemberita dalam Program Santai Pagi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Kor Ming berkata, antaranya termasuk 1,000 unit tandas awam telah disasarkan untuk dibaik bulih serta dinaik taraf menjelang hujung tahun ini dengan peruntukan RM150 juta, tertinggi dalam sejarah.

“Satu peruntukan yang sangat besar dan saya mahu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan RM150 juta untuk tandas awam. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada peruntukan khas untuk tandas,” katanya.

Bagi kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, Kor Ming berkata, KPT telah meluluskan sebanyak 12,336 unit lampu jalan HPSV kepada jenis LED berbanding 10,000 unit yang disasarkan dengan bajet sebanyak RM50 juta.

“Inisiatif ini melepasi sasaran 100 peratus iaitu berjaya mencapai 123 peratus dengan duit yang sama tetapi kita boleh dapat lebih. Ini menunjukkan perbelanjaan yang berhemah dan efektif.

“Itu yang saya selalu tekankan dengan menggunakan kaedah Cost Benefit Analysis (CBA), iaitu dengan menggunakan duit yang sama tetapi memperoleh impak positif tambahan, sekali gus memaksimumkan hasil,” katanya.

Pencapaian separuh tahun KPKT merangkumi Belanjawan 2024, Kerangka Strategik Malaysia Madani, Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai, Projek Sentuhan Kasih KPKT dan Perancangan penggubalan atau pindaan Akta.

Tambah Kor Ming, KPKT juga berhasrat untuk menjadikan pasar awam di negara ini sebagai destinasi pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi kerja naik taraf pasar yang sudah uzur.

“Kita telah meluluskan peruntukan bagi menaik taraf 89 pasar awam yang uzur berbanding 100 pasar awam yang disasarkan.

“Bayangkan dalam masa setahun kita naik taraf 100 pasar awam dan dalam tempoh lima tahun kerajaan mampu naik taraf 500 pasar di seluruh negara,” jelas Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan.

Sementara itu, Kor Ming berkata, bagi pembangunan kampung baru Cina, sebanyak 1678 projek telah diluluskan berbanding 1810 yang disasarkan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Selain itu, KPTK juga telah meluluskan projek naik taraf dan baik pulih bagi 338 rumah ibadat bukan Islam dan 73 projek perparitan serta longkang dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM50 juta dan RM20 juta.

Menurut Kor Ming lagi, bagi mengatasi masalah banjir di negara ini, KPKT juga telah meluluskan sebanyak 182 projek kolam takungan banjir melebihi sasaran 100 projek yang ditetapkan dengan perbelanjaan sebanyak RM50 juta.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, sebanyak RM160 juta telah diperuntukan bagi inisiatif Gerai Madani di kawasan PBT dan Gerai Penjaja MyKiosk@KPKT yang kini masing-masing telah mencapai 172 peratus dan 99.5 peratus.

“Sebanyak 172 projek telah diluluskan bagi Gerai Madani di kawasan PBT, manakala 3981 unit bagi Gerai Penjaja MyKiosk@KPKT,” jelas Kor Ming lagi.

Tidak ketinggalan, kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian Lif Madani juga telah mencapai 100 peratus dengan 76 projek merangkumi 141 lif telah diluluskan menerusi peruntukan sebanyak RM146.6 juta iaitu tertinggi dalam sejarah.

“Kita sasarkan sebanyak 141 lif akan digantikan di 76 projek dan kerja-kerja masih lagi berterusan,” jelas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button