Agama

Majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 Paris selit unsur LGBT cemari nilai luhur kemanusiaan

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan rasmi Al-Azhar Al-Sharif yang mengecam sekeras-kerasnya adegan yang dipaparkan pada majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 Paris kerana menonjolkan unsur keterlaluan yang memperlecehkan kenabian atas nama kebebasan berkarya dan mencipta.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, keghairahan penganjur “berkarya” dan “mencipta” tanpa menghiraukan sensitiviti kepelbagaian agama, budaya dan kepercayaan dunia telah menjejaskan suasana kemeriahan pembukaan Sukan Olimpik 2024.

Mohd Na’im berkata, walaupun penganjur menafikan mereka mempunyai agenda tertentu dan tidak mempunyai mesej spesifik yang ingin disampaikan, namun watak-watak dan adegan yang dipersembahkan jelas tidak menghormati kepercayaan orang yang beragama yang percaya pada nilai, moral dan kemanusiaan yang luhur.

“Ini termasuk mempromosi unsur lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) yang bercanggah dengan agama dan budaya sebahagian besar masyarakat dunia dan satu tindakan yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Menteri Agama, perkara itu mengundang kemarahan masyarakat global yang mengimpikan keharmonian sejagat dicapai melalui penganjuran sukan yang berprestij serta menjalin hubungan erat sesama manusia.

Oleh sebab itu, katanya, sewajarnya unsur-unsur yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apatah lagi mempromosikan cara hidup songsang tidak harus ditonjol dan dipromosikan.

“Dalam konteks penganjuran sukan bertaraf antarabangsa, sewajarnya badan yang bertanggungjawab memastikan elemen-elemen yang boleh mencetuskan kontroversi seperti ini tidak dipersembahkan walau apa jua alasan diberikan.

“Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk meraikan kepelbagaian budaya dan mempromosikan sikap hormat menghormati, persaudaraan manusia dan kehidupan bersama,” tegasnya.

Tegas Menteri Agama lagi, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penghormatan dan keharmonian global ini perlu dielakkan sama sekali.

Terdahulu, Majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 baru-baru menerima kritikan masyarakat antarabangsa selepas secara terbuka mempamerkan unsur lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan agama dan budaya masyarakat dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button