Sukan

KBS tidak berhasrat bina stadium khas sepak takraw, fasiliti sedia ada mencukupi

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak berhasrat untuk membina satu stadium khusus buat sukan sepak takraw, memandangkan fasiliti sedia ada yang dilihat sudah mencukupi.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira dalam pembinaan sesebuah stadium dan ia termasuk kos penyelengaraan yang menjadi cabaran terbesar buat kerajaan negeri yang rata-rata tidak mampu untuk menampungnya.

“Cabaran kita adalah kita ada 103 sukan yang telah diwartakan dan jika setiap sukan meminta satu stadium khas memang kita tidak larat (tidak mampu).

“Membina ada satu perkara yang sangat mencabar tetapi selepas itu kita kena pulangkan stadium itu kepada kerajaan negeri untuk penyelengaraan dan itupun sukar kerana banyak kerajaan negeri yang tidak mampu menampung kos selenggara.

“Oleh sebab itu, kita sekarang tidak ambil jalan mudah dengan membina sahaja tanpa dana untuk penyelenggaraan,” katanya dalam sidang Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukan oleh Senator Datuk Mustafa Musa (Melaka) berhubung keperluan membina stadium khusus untuk sepak takraw memandangkan kejayaan pasukan Malaysia merangkul kejuaraan dunia baru-baru ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, Hannah berkata, KBS telah mengambil pendekatan menerusi perbincangan bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan PSM boleh memilih stadium sedia ada yang sesuai digunakan untuk pasukan negara menjalani latihan.

“Apa yang saya telah nyatakan kepada PSM saya telah berikan mereka senarai stadium-stadium sedia ada yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di lembah Klang. Lihat dahulu stadium mana yang sesuai lokasinya dan kita boleh bincang macam mana kita boleh kongsi stadium itu atau ada kerjasama strategik yang boleh diwujudkan dengan persatuan sukan.

“Itu adalah kaedah yang kita guna pakai sekarang untuk memastikan kita menjimatkan wang dan mengoptimumkan fasiliti sedia ada di Malaysia,” ujar Hannah lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button