PM X

Peraturan baharu media sosial bagi wujudkan persekitaran maya selamat – PM

TAMBUN – Peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan adalah untuk mengatasi penyebaran jenayah dan maklumat berbahaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah penguatkuasaan tersebut adalah penting bagi mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.

“Saya tegaskan bahawa peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan adalah untuk mengatasi penyebaran jenayah dan maklumat berbahaya, sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.

“Kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Majlis Kenduri Madani di Taman Koperasi Perpaduan 2, Tambun, hari ini.

Tambah Perdana Menteri, kecanggihan teknologi menuntut mana-mana pihak khususnya warga maya untuk meletakkan ketertiban tinggi tanpa menimbulkan sensitiviti hingga menggugat keamanan dan ketenteraman ketika menggunakan mana-mana platform media sosial yang ada.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan satu kerangka baharu bagi mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bakal menjadi mandatori kepada penyedia platform media digital jika mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar.

Kegagalan memperoleh lesen ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan perundangan MCMC.

Show More

Related Articles

Back to top button