Jenayah & Mahkamah

Peguam ibu bapa Zayn Rayyan belum terima maklum balas polis berhubung kebocoran gambar dimuatnaik Edisi Siasat

PETALING JAYA – Peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum menerima maklum balas daripada polis berhubung kebocoran gambar dan maklumat berkenaan siasatan kematian kanak-kanak autistik itu yang dimuatnaik Edisi Siasat.

Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, akaun Telegram itu mengeluarkan maklumat mendakwa bahan bukti sebelum laporan polis dibuat pihaknya, lapor Harian Metro.

“Edisi Siasat mengeluarkan dua bahan bukti yang saya tak boleh sahkan, sehingga kini kami belum terima apa-apa maklum balas daripada polis sama ada siasatan sudah dibuka atau dilanjutkan kepada Jabatan Peguam Negara, kami tiada maklumat.

“Kami tidak membuat sebarang laporan polis lagi berhubung kebocoran dikatakan gambar ‘post mortem’.

“Kami baru saja menerima gambar bedah siasat hari ini, dan akan berbincang dengan anak guam serta keluarga sama ada untuk membuat laporan polis kedua berkaitan gambar, sebab kami nak tengok gambar itu betul atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas prosiding sebutan pertama di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Sehari selepas itu, keluarga Zayn Rayyan membuat laporan polis berhubung maklumat siasatan yang tular di akaun Telegram kononnya pembunuhan itu dilakukan ibu bapa kanak-kanak malang itu.

 

Show More

Related Articles

Back to top button