Syarikat arak taja sekolah: KPM digesa ambil tindakan tegas tanpa mengira jenis sekolah
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mempromosikan minuman keras secara terbuka di premis sekolah.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, lebih mengejutkan apabila terdapat pihak yang mengaku dan mengesahkan sudah tiga dekad syarikat arak membiayai sekolah Cina di negara ini.
“Sedangkan syarikat arak dan rokok juga telah dihalang untuk diiklankan di TV dan media perdana. Mereka bahkan tidak boleh menaja sebarang acara sukan di Malaysia.
“Maka di mana kelayakan dan keistimewaan syarikat ini mendapat laluan untuk mempromosikan minuman keras ini secara terang-terangan di premis sekolah?
“Ini bukan lagi soal isu perkauman apatah lagi isu politik. Tidak ada pihak yang dengki dengan penajaan ini melainkan marah dan terkilan kerana tindakan ini telah mencemarkan institusi pendidikan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah dikritik selepas gambar tular di media sosial memaparkan dirinya bersama individu lain dengan sebuah replika cek sumbangan syarikat arak berjumlah RM3 juta.
Bagaimanapun Ketua Wanita Amanah itu menjelaskan bahawa beliau tidak tahu bahawa dalam majlis itu mempaparkan logo jenama arak berkenaan.
Katanya, Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) itu menjemput semua penyumbang termasuk beliau yang menyumbang sejumlah dana.
Aiman Athirah dilaporkan berkata, beliau hadir ke program itu bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain.