KBS beri tumpuan sukan warga emas
PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas Siri II Tahun 2024 di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.
Sesi ini merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang diadakan pada 8 Februari dengan tujuan untuk melaporkan maklum balas serta gerak kerja program yang telah dilaksanakan sepanjang separuh pertama tahun 2024.
Hannah berkata, bermula tahun 2024, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas bagi memastikan kesihatan fizikal, rohani, dan mental golongan ini terpelihara.
“Langkah ini diambil berikutan populasi penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas telah mencapai 11.1 peratus pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang tahun 2030.
“Dengan peningkatan ini, Malaysia bakal dikategorikan sebagai negara menua menurut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang tahun 2030,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, sesi perbincangan kali ini juga memberi fokus kepada pengukuhan peranan agensi kerajaan dalam menjayakan inisiatif pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas.
Hannah berkata, objektif sesi ini termasuk membincangkan inisiatif dan pendekatan baharu bagi merancakkan usaha pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas.
“Memperhalusi peluang kerjasama rentas organisasi yang melibatkan hal-hal berkaitan dengan penuaan sihat dan sukan warga emas.
“Memperkukuhkan tindakan penyelarasan bagi inisiatif pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas secara holistik dan menyeluruh.
“Menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas,” katanya lagi.
Sebanyak 15 agensi kerajaan, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan dua pakar rujuk telah dijemput untuk berkongsi pendapat, idea, dan maklumat dalam usaha membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, khususnya warga emas.
Penganjuran sesi ini dijangka menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).
Sesi ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KBS, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah JBSN,Tuan Mohd Azhari Mohammad.