Bekas tentera gagal cabar keputusan ditamatkan perkhidmatan kerana enggan ambil vaksin Covid-19
PUTRAJAYA – Seorang bekas tentera hari ini gagal dalam permohonannya untuk mencabar penamatan perkhidmatannya setelah enggan menerima vaksinasi Covid-19.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Wan Ramli Wan Seman atas alasan keputusan yang dibuat untuk menamatkan perkhidmatan pemohon adalah mengikut undang-undang dan bukan prosedur yang tidak wajar dan tidak rasional.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 27 Sept 2021, Wan Ramli menamakan Leftenan Kol Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Tentera Darat, dan kerajaan, sebagai responden.
Wan Ramli memohon pengisytiharan bahawa surat penamatan bertarikh 4 Ogos 2021 dan penamatan awal khidmatnya dalam Angkatan Tentera Malaysia adalah terbatal.
Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata perintah vaksinasi Covid-19 telah dikenakan ke atas semua anggota tentera Malaysia melalui surat bertarikh 3 Mac 2021.
“Berdasarkan perintah vaksinasi itu, vaksinasi Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua anggota Tentera Darat Malaysia kecuali mereka dalam kumpulan yang tidak layak untuk divaksinasi, seperti mereka yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital akibat alahan teruk dan mereka yang mengalami tindak balas alahan yang teruk selepas menerima dos pertama vaksin.
“Selain itu, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang ingkar perintah itu,” kata beliau.
Hakim berkata, perintah vaksinasi telah diedarkan kepada semua anggota Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Rasah di Seremban, tempat pemohon berkhidmat.
Hakim berkata pemohon jelas mengingkari perintah apabila enggan divaksinasi mengikut perintah vaksinasi tersebut.
Beliau berkata, perintah vaksinasi itu dikeluarkan oleh Tentera Darat Malaysia kepada anggotanya.
“Ia adalah soal pertimbangan dasar dan keputusan yang relevan dengan operasi kerja Tentera Darat Malaysia.