Latihan PLKN 3.0 tidak intensif seperti tentera – Khaled
KUALA LUMPUR – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak akan menjalani latihan ketenteraan yang bersifat intensif seperti yang diberikan kepada anggota tentera yang sebenar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin sebaliknya berkata, modul yang bakal digunakan akan menekankan aspek-aspek seperti disiplin diri.
Jelas Khaled, modul itu juga akan turut melibatkan pendedahan dan penerangan berkenaan dengan dasar-dasar pertahanan negara.
“Kesemua elemen ini adalah kritikal dalam membentuk generasi muda yang berwibawa, matang serta berketahana,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkit oleh Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkenaan dengan rasional menetapkan latihan asas ketenteraan sehingga 70 peratus daripada modul keseluruhan PLKN.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, penekanan sehingga 70 peratus modul ini adalah berasaskan kepada dapatan libat urus dengan pelbagai pihak.
Jelas beliau, pihak berkenaan telah memberi maklum balas tentang sikap dan perilaku golongan muda masa kini yang dilihat perlu untuk dibentuk dengan nilai-nilai keutuhan diri yang lebih meluas dan tegas.
“Kita berhasrat menjadikan PLKN yang baharu ini sebagai satu medium mendedahkan tentang realiti serta keistimewaan kerjaya pertahanan.
“Kita melebihkan elemen ketenteraan ini kerana ia adalah satu elemen atau pendedahan yang tidak boleh diperoleh sepanjang masa.
“Sebaliknya, elemen-elemen seperti cintakan negara, jati diri dan perpaduan, sememangnya sudah sering menjadi fokus dan diberikan perhatian di pelbagai peringkat termasuklah di peringkat sekolah,” katanya.
Tambah Khaled, kementeriannya menyasarkan untuk melaksanakan Fasa Pra PLKN dan Program Perintis PLKN mulai bulan Jun tahun depan.
“Fasa Latihan asas di 13 buah Kem Askar Wataniah pula dijangka akan dimulakan seawal bulan April 2026, manakala latihan asas di IPTA dan Politeknik dijangka bermula semasa pengambilan pelajar sesi Akademik 2026/2027,” ujarnya lagi.