Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kanak-kanak enam tahun hilang di tapak festival

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hilang di tapak festival Eko Galleria, Taman Botani di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kanak-kanak yang dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui itu disedari hilang oleh bapanya pada pukul 8.30 malam.

“Polis sedang berusaha mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang sejak semalam.

“Lokasi terakhirnya ialah di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani, di sini.

“Ketika kejadian, kanak-kanak terbabit memakai baju T putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ pada bahagian dada dan berseluar pendek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumarasan berkata, Albertine mempunyai ketinggian kira-kira 120 sentimeter, berambut panjang berwarna hitam, berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Sehubungan itu katanya, operasi mencari mangsa di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya kini sedang giat dijalankan termasuk menggunakan bantuan unit anjing pengesan (K9).

Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzuan Abd Hadi ditalian 017-7051097.

 

Show More

Related Articles

Back to top button