PKNS Pilih Karnival tawar hadiah bernilai RM15,000 buat pengunjung
SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan hadiah bernilai RM15,000 buat pengunjung program PKNS Pilih Karnival Kota Puteri yang bakal diadakan pada 27 dan 28 Julai ini di Galeri Jualan Kota Puteri, Batu Arang.
Hadiah yang ditawarkan sepanjang dua hari karnival itu termasuklah cabutan bertuah berupa hadiah sebuah motosikal jenama Modenas.
Selain itu, barangan keperluan asas seperti beras, gula, susu, minyak, tepung, pelbagai rangkaian produk makanan serta pelbagai barangan elektrik turut menanti pengunjung sebagai hadiah sukan rakyat.
Memeriahkan lagi karnival dua hari berkenaan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi terkenal tanah air iaitu Azlan & The Typewriter, Nuha Bahrin, Ezra Kairo dan Zubir Khan.
Turut menjadi tarikan buat pengunjung adalah pertunjukan laser, pertunjukan layang-layang moden, zoo mini, food truck dan gerai jualan makanan dan minuman.
Pengunjung juga boleh menyertai acara sumba, sukan rakyat seperti tarik tali, panjat tianh licin, pukul bantal dan banyak lagi selain permainan uji minda bertema Wheel Of Fortune, Minute To Win It, dan Family Feud turut diadakan.
Orang ramai yang berhasrat menyertai pertandingan tarik tali dan panjat tiang licin, bolehlah mendaftar menerusi kod QR yang disediakan penganjur.
Hadiah tempat pertama, kedua dan ketiga untuk pemenang panjat tianh licin adalah RM500, RM300 dan RM200.
Untuk pemenang hadiah pertama dan kedua permainan tarik tali adalah RM700, RM400 dan RM200 masing-masing bagi pemenang tempat ketiga dan keempat.
Menurut Pengarah Program, Ishak Hashim, PKNS Pilih Karnival merupakan inisiatif kempen gaya hidup oleh PKNS HOMES pada tahun 2024.
Pada karnival dua hari ini, orang ramai boleh melihat pameran projek hartanah PKNS iaitu Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2.
Katanya, kedua-dua projek perumahan itu berkonsepkan kediaman rumah teres dua tingkat sebagai sebahagian daripada usaha PKNS untuk memperluaskan portfolio rumah kontemporari di pusat kota itu.
“Ia bukan sahaja menawarkan kediaman yang memenuhi keperluan gaya hidup masa kini, pembangunan projek perumahan itu turut memberi tumpuan kepada binaan moden berkonsepkan teknologi hijau atau ‘green element’ selaras dengan penekanan perbadanan terhadap konsep kelestarian bagi menyokong amalan ESG dalam setiap pembangunannya,” katanya.
Di samping pameran projek perumahan, orang ramai yang datang bersama keluarga juga boleh membuat tempahan pembelian rumah di dua fasa berkenaan.
10 pembeli Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2 yang membuat tempahan (mengisi Borang Pembelian Rumah (BPR-01) semasa dua (2) hari program Pilih Karnvial Kota Puteri akan menerima baucar barangan elektrik jenama elektrik Samsung bernilai RM2,000.