Tumbukan maut di pusat hiburan, warga Amerika mengaku tidak bersalah
PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang menumbuk mati seorang lelaki di sebuah pusat hiburan gara-gara berlanggar bahu pada bulan lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Thomas Joseph, 30, yang merupakan seorang juru teknik didakwa menyebabkan kematian K Chandra Bose, 58, pada 12.30 malam, 23 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan di depan Hakim Dr. Syahliza Warnoh, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Kesiksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim tidak menawarkan sebarang jumlah jaminan ke atas tertuduh memandangkan kes itu merupakan kes yang tidak boleh dijamin.
“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan fakta bahawa dia merupakan seorang warga asing.
“Jika jaminan diberi, terdapat risiko tertuduh untuk melarikan diri serta tidak hadir di prosiding akan datang,” kata Anis Hakimah.
Sementara itu, Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya itu dibenarkan jaminan pada kadar RM15,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Syahliza memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.