Gangguan siber global jejas sektor perkhidmatan
PUTRAJAYA – Beberapa perkhidmatan utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa buah negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran.
Agensi berita Sputnik dalam ciapannya berkata, masalah tersebut berpunca daripada platform keselamatan siber, CrowdStrike.
“Gangguan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami gangguan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” lapor Sputnik di akaun X miliknya, @SputInt.
Sementara itu, BB menerusi @BBCBreaking melaporkan, gangguan IT besar-besaran itu turut menyebabkan pesawat tidak dapat berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia.
Akaun X Bloomberg @business melaporkan bahawa siri gangguan teknikal yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft, sedang mengganggu perkhidmatan secara global, menjejaskan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan.
Agensi Anadolu menerusi platform X mereka @anadoluagency melaporkan bahawa hospital dan perkhidmatan kesihatan juga terjejas akibat kegagalan pelayan dengan Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan gangguan berkenaan.
Sementara itu, di Malaysia, gangguan sama dilapor turut menjejaskan perkhidmatan penerbangan, antaranya perkhidmatan AirAsia meliputi sistem pengesahan daftar masuk difahamkan turut terlibat.
AirAsia dalam kenyataan terbaharu di X memaklumkan, sistem asas tempahan dan daftar masuknya terjejas kerana isu IT global yang mempengaruhi syarikat penerbangan di seluruh dunia.