20 mahasiswa dapat tawaran latihan pengalaman kerja di Turkish Aerospace
CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan tinggi (KPT) hari ini menyerahkan surat tawaran Program SKY Global Apprenticeship oleh Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS) kepada 20 mahasiswa dari 10 universiti tempatan di sini hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif tersebut sebagai langkah mempersiapkan mahasiswa dalam menghadapi cabaran lebih luas dan terbuka kerana mereka memerlukan perspektif global.
“Ini selaras dengan dasar KPT iaitu pendekatan bukan hanya berdasarkan pembelajaran di kampus semata-mata.
“Tempoh tiga minggu itu akan dikira sebagai jam kredit bagi subjek berkaitan,” katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan surat tawaran Sky Global Apprenticeship Programme hari ini.
Dalam pada itu, TUSAS akan menaja dan menguruskan penginapan, makan minum dan pengurusan lapangan untuk semua peserta yang terpilih.
Jelasnya, pelajar tersebut akan menjalani latihan pengalaman kerja profesional di Turkish Aerospace, Ankara, Turki, bermula dari 22 Julai 2024 hingga 16 Ogos 2024 bagi kumpulan pertama, manakala kumpulan kedua akan bermula dari 2 September 2024 hingga 27 September 2024.
“Ia direka khas untuk melatih peserta secara profesional dalam pelbagai disiplin kejuruteraan aeroangkasa, termasuk avionik, reka bentuk struktur pesawat dan pemasangan sistem pesawat.
“30 tempat diperuntukkan untuk pelajar Malaysia pada tahun 2024, dengan selebihnya akan diserahkan dalam majlis berasingan,” tambahnya.
20 pelajar yang terpilih untuk menyertai program berprestij itu terdiri daripada pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi PETRONAS dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman, Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Datuk Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, Duta Besar Turki ke Malaysia, Emir Salim Yuksel serta barisan kepimpinan Turkish Aerospace Malaysia dan 10 ahli Konsortium Universiti Malaysia.