Termakan keropok beracun: Ibu nafi anak bongsu meninggal dunia
GEORGE TOWN – Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang kritikal selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah pada Ahad lalu, menafikan anak bongsunya telah meninggal dunia hari ini.
Nurain Hasnorizal, 25, berkata anaknya, Muhammad Luth Syaugi Nur Sufyan, 2, masih dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), lapor Bernama.
“Keadaan adik (Muhammad Luth Syaugi) masih sama dan tiada sebarang perubahan. Saya terkejut apabila menerima mesej daripada adik saya melalui WhatsApp yang bertanya sama ada Luth telah meninggal dunia kerana terdapat khabar angin yang menyatakan adik sudah tiada.
“Ketika itu saya berada di pekarangan HPP dan terus menghubungi doktor untuk bertanyakan keadaan adik (Luth).
“Doktor mengesahkan anak saya masih menerima rawatan dan keadaan masih sama (kritikal),” katanya kepada pengamal media ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa anak sulung Nurain, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syaugi, berada dalam keadaan kritikal.
Namun, Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi semalam selepas 78 jam bertarung nyawa di PICU HPP.
Katanya, Nurain yang sedih dan kecewa dengan khabar angin tersebut meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak benar dan memohon rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan anak bongsunya.
“Sekarang ini saya kena kuat untuk Luth. Saya telah masuk melihat keadaannya di PICU tadi dan keadaan masih sama (kritikal) serta tiada sebarang pergerakan. Saya mohon doa semua untuk anak bongsu saya,” katanya.
Media melaporkan dua kanak-kanak itu dipercayai telah mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh seorang pemilik kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet.