JP Morgan naikkan penarafan Malaysia
KUALA LUMPUR – Sayap penyelidikan bank pelaburan, JP Morgan menyemak naik penarafan Malaysia kepada neutral berbanding cadangan underweight sebelum ini.
Ketua strategi ekuiti Asia-Pasifik (bekas Jepun/China), Rajiv Batra, berkata, pembaharuan dasar negara, pelaburan pusat data dan pembinaan infrastruktur sebagai faktor utama yang menyumbang kepada naik taraf cadangan tersebut.
“Ini menjadikan kami positif terhadap Malaysia dan apa yang lebih menarik, semua tanda-tanda ini dicatatkan pada tahun lepas.
“Pertumbuhan pendapatan misalnya hampir menjejaki tahap 10-11 peratus yang juga satu peningkatan yang mengejutkan. Kami perlu memberi pujian kepada negara itu dan atas alasan ini, kami menaikkan penarafan itu kepada neutral,” katanya dalam wawancara dengan stesen media CNBC semalam.
Mengulas lanjut, Rajiv berkata, kerajaan juga telah meluluskan beberapa dasar penting seperti melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Belanjawan Ekonomi Madani.
Jelas beliau, komitmen kerajaan untuk meneruskan pengukuhan fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan juga adalaj langkah yang penting, sekali gus menjadikan ekonomi Malaysia berkembang pada paras lima peratus.
Tambah Rajiv, usaha kerajaan hari ini telah memberi kesan terhadap persepsi pelabur asing yang dilihat semakin yakin untuk melabur di Malaysia.
“Banyak pihak sudah mula mengalih perhatian kepada Malaysia sekali lagi dan bertanya kepada saya di mana harus mereka melabur sekarang,” katanya berdasarkan pengembaraannya.