PLKN 3.0 bermula pertengahan tahun depan
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dijangka bermula sekitar pertengahan tahun depan dengan membabitkan fasa pra PLKN di peringkat sekolah terlebih dahulu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi fasa PLKN asas membabitkan peserta berumur 17 tahun dan ke atas dijangka bermula pada April 2026.
Beliau berkata, bagi fasa asas di institut pendidikan tinggi awam (IPTA) ia akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026/2027.
“Bagi fasa pra PLKN di peringkat sekolah, ia akan dilaksanakan bersama dengan ketetapan pelaksanaan modul generasi Madani oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan dijangka bermula pada Jun dan Julai tahun depan.
“Bagi fasa PLKN asas yang melibatkan peserta 17 tahun dan ke atas di kem askar wataniah selama 45 hari, ia dijangka dimulakan pada April 2026.
“Bagaimanapun projek rintis akan bermula pada Jun dan Julai 2025, yang melibatkan dua kem wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Zahari Kechik (BEBAS-Jeli) yang mahu mengetahui status terkini bagi pelaksanaan semula PLKN di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut pelaksanaan program itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan bersetuju dengan penerapan konsep dan format baharu.
Untuk itu, katanya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memuktamadkan proses menyedia serta merangka modul latihan yang akan dilakukan secara berfasa.
Bagi fasa pra PLKN, kata ia akan diperkenalkan di peringkat sekolah sebagai persiapan bagi mereka menjalani latihan selepas berusia 17 tahun, merangkumi pelajar di Tingkatan 4 saja semasa kegiatan kokurikulum.
Fasa seterusnya, beliau berkata merangkumi pelaksanaan PLKN asas remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas bakal dipilih untuk menjalani latihan asas di 13 kem askar wataniah, 20 universiti awam (UA) dan beberapa politeknik.
“Fasa latihan asas ini merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus. Latihan tersebut bersifat intensif, lapangan serta praktikal.
“Modul asas kenegaraan dibangunkan oleh KPT mengandungi modul kenegaraan elemen jati diri, modul kenegaraan elemen cinta negara dan modul kenegaraan elemen perpaduan.
“Manakala modul asas ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan. Pelatih akan dilatih untuk mempraktikan budaya kehidupan tentera seperti displin, ketetapan masa tersusun dan mandiri,” katanya.
Dalam program latihan itu nanti, Mohamed Khaled memaklumkan yang peserta diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan dalam bidang mereka minat.
Justeru, katanya modul bagi setiap latihan khusus dibangunkan untuk anggota angkatan tetap, angkatan simpanan dan sukarelawan.
“Fasa peringkat latihan lanjutan memang kita ada bincang sama ada kita perlu melihat kepada soal peluang dibuka, termasuk dari segi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada semua yang ikuti PLKN. Saya percaya memang sangat positif dan Insya-Allah akan dimuktamadkan,” katanya.