Berita SemasaSukan

Euro 2024: Pengadil EPL terpalit kontroversi tidak akan adili perlawanan akhir

BERLIN – Pengadil Liga Perdana Inggeris terkenal, Anthony Taylor, dijangka tidak akan terlibat dalam perlawanan akhir Euro 2024.

Menurut laporan Mail Sport, sebanyak ribuan peminat mendesak agar namanya dikeluarkan daripada senarai pengadil Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) serta menuntut perlawanan suku akhir Jerman diulangi.

Katanya, Taylor mencetuskan kemarahan peminat Jerman selepas beliau tidak memberikan penalti atas kesalahan bola terkena tangan pertahanan kiri Sepanyol, Marc Cucurella dalam kekalahan suku akhir Jerman kepada Sepanyol.

Lebih daripada 32,000 penyokong yang marah telah menandatangani petisyen menuntut tindakan diambil terhadap Taylor dan agar perlawanan tersebut diulangi.

Ketua Pengadil UEFA, Roberto Rosetti berkata, beliau berpendapat keputusan dibuat itu betul dan juga berpuas hati dengan tindakannya.

“Terdapat elemen untuk penambahbaikan, terutamanya dalam tempoh semakan,” katanya.

Dalam pada itu laporan dari Gazzetta dello Sport, pengadil Itali berpengalaman, Daniele Orsato, berada dalam kedudukan utama untuk mengadili perlawanan akhir di Berlin pada 14 Julai ini.

Orsato yang telah menjadi pengadil FIFA sejak 2010, telah mengadili beberapa perlawanan penting termasuk perlawanan akhir Coppa Italia pada tahun 2013 dan 2015 serta perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2020 antara Paris Saint-Germain dan Bayern Munich.

Orsato, 48, dijangka akan menamatkan kerjayanya sebagai pengadil selepas kejohanan itu, serta berpeluang untuk mengakhiri kerjayanya pada peringkat tertinggi.

Sementara itu pada peringkat separuh akhir, perlawanan antara Belanda dan England akan dikendalikan oleh pengadil Jerman, Felix Zwayer, manakala perlawanan antara Perancis dan Portugal akan dikendalikan oleh Slavko Vincic dari Slovenia.

Show More

Related Articles

Back to top button