DBKL, JWP taja skim perlindungan Perkeso kepada penjaja, suri rumah
KUALA LUMPUR – Seramai 756 penjaja dan 434 suri rumah golongan B40 menerima tajaan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, DBKL telah menaja 10 peratus nilai caruman kepada penjaja di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS).
Manakala tajaan kepada suri rumah B40 pula dibuat oleh pihak JWP di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
“DBKL telah menaja 10 peratus nilai caruman kepada penjaja di bawah SKSPS Pelan 2, bernilai RM 23.30 dan baki selebihnya bernilai RM 209.50 dibiayai oleh pihak kerajaan.
“Kesemua penjaja yang terpilih merupakan penjaja yang terlibat dengan program Lestari Niaga yang dianggar seramai 2,095 orang dan daripada jumlah tersebut pihak DBKL telah memilih 756 penjaja yang menepati kriteria ditetapkan.
“Kriteria tersebut iaitu penjaja mempunyai lesen aktif, tiada tunggakan sewa dan tunggakan kompaun DBKL serta tiada perlindungan aktif Perkeso,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tajaan Caruman SKSPS dan SKSSR serta Pertukaran Surat Niat Kerjasama JWP dengan Perkeso, di sini semalam.
Hadir saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Program Lestari Niaga merupakan projek naik taraf fasiliti penjaja yang melibatkan premis milik DBKL dan gerai-gerai statik di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.