Berita Semasa

Malaysia hantar bantuan ke Gaza melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein

PUTRAJAYA – Malaysia akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan, susulan penutupan sempadan Rafah oleh tentera Israel pada awal Mei lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jordan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan telah menghantar bantuan ke Gaza melalui lintasan tersebut.

“Pintu Rafah telah ditutup oleh Israel. Kini, satu-satunya laluan yang masih terbuka adalah melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein dari Jordan,” kepada media selepas pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, di sini hari ini.

Mohamad memaklumkan bahawa ketika lawatan kerja ke Jordan bulan lalu, Kerajaan Jordan menghantar sekitar 500 kontena bantuan setiap hari ke Gaza.

Beliau berkata, kerajaan akan menjadi pengantara untuk menghubungkan Sekretariat Ops Ihsan yang menguruskan bantuan dari Malaysia, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain, dengan pihak Jordan bagi proses penghantaran bantuan.

Setakat ini, Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) telah menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM98,828,028.83. Daripada jumlah itu, AAKRP telah menyalurkan RM34,992,378.10 kepada pertubuhan antarabangsa di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA), serta kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Dana tersebut digunakan untuk pembiayaan dan elaun sara hidup pelajar Palestin di Malaysia, NGO di bawah Ops Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Jordan, Mesir dan Palestin serta Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan bagi penyelenggaraan tahunan Masjid Al-Aqsa.

Kira-kira RM9 juta akan disalurkan untuk rawatan kanser pesakit Palestin, bekalan air bersih di Gaza, peningkatan pengurusan sanitasi dan kebersihan air, serta peningkatan peralatan perubatan.

Mohamad juga berkata, bahawa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan pada September depan akan menjadi platform utama untuk Malaysia menyuarakan sokongan terhadap Palestin dan mengutuk tindakan Israel.

“Kita mahu resolusi Majlis Keselamatan PBB, penghakiman sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dan rancangan tiga fasa gencatan senjata oleh Amerika Syarikat dan dua negara lain dikuatkuasakan dan diterima oleh semua pihak termasuk Zionis.

“Kita dimaklumkan bahawa Hamas menerima rancangan ini tetapi ditolak oleh Israel. Mereka sentiasa mencari alasan untuk memanjangkan perang dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin,” katanya lagi.

Sejak perang Israel-Palestin yang meletus pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 37,800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 86,800 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button