Sukan

Azeem dapat tiket ‘wild card’ ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR – Jaguh pecut negara, Mohamad Azeem Fahmi akan beraksi di Sukan Olimpik Paris selepas mendapat ‘wild card’ dalam olahraga.

Keputusan tersebut sekali gus menafikan peluang ratu 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, keputusan tersebut dibuat selepas keputusan dicapai dalam mesyuarat kesatuan itu semalam.

Menurut Shahidan, pemilihan Azeem berdasarkan kelayakan slot ‘wild card’ tersebut yang diberikan khusus untuk acara 100m, 800m dan maraton.

“Memang berat untuk buat keputusan ini, tetapi kita kena lakukan berdasarkan tawaran pihak Olimpik berdasarkan kategori ‘wild card’ itu. Maka KOM telah memutuskan ‘wild card’ itu diberikan kepada Azeem,” katanya dalam sidang media hari ini.

Azeem yang merupakan lelaki terpantas Malaysia, bergelut untuk berlari di bawah 10.3 saat dalam 100m dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Semalam, dia mencatat masa 10.37 saat (s) untuk menamatkan saingan di belakang bekas juara remaja dunia Indonesia, Lalu Muhammad Zohri (10.19s) dalam acara 100m akhir di Sukan Universiti Asean di Surabaya.

Dalam pada itu Azeem memegang rekod kebangsaan 10.09s yang dibuatnya dua tahun lalu, mencatat masa 10.11 untuk meraih gangsa dalam acara 100m di Sukan Asia Hangzhou September lalu.

Malaysia menerima wildcard selepas kedua-dua atlet itu gagal melepasi peluang ke Sukan Olimpik dalam acara masing-masing pada akhir tempoh kelayakan.

Show More

Related Articles

Back to top button